KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas orang awam di Gaza.
Serangan itu menyebabkan banyak kehilangan nyawa yang tidak berdosa, termasuk wanita, kanak-kanak serta anggota perubatan dan media.
Kementerian Luar dalam kenyataan rasmi menyatakan bahawa tindakan sengaja menyasarkan hospital, termasuk serangan terbaharu yang mengerikan terhadap Hospital Kamal Adwan, yang memaksa pesakit dan kakitangan perubatan keluar serta melibatkan layanan tidak berperikemanusiaan, adalah satu bentuk keganasan yang tidak dapat diterima.
Serangan itu turut merosakkan infrastruktur penting.
Kenyataan itu menegaskan bahawa tindakan tersebut jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, hak asasi manusia antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.
Wisma Putra turut menyatakan bahawa serangan udara yang tidak henti-henti, pemindahan paksa, dan penyasaran sistematik terhadap kawasan kediaman serta zon yang diiktiraf sebagai selamat merupakan tindakan genosid dan jenayah perang yang jelas.
Selain itu, kementerian itu mengkritik taktik halangan yang digunakan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menghalang kemajuan dalam perundingan gencatan senjata, menambah penderitaan rakyat Palestin dan menggagalkan usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata yang segera dan kekal.
Kementerian itu menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa harus mengambil tanggungjawab bersama untuk menghentikan kekejaman ini, melindungi nyawa orang yang tidak berdosa, serta memastikan mereka yang bertanggungjawab atas genosid dan jenayah perang diadili.
“Keamanan, keadilan, dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa mesti ditegakkan. Dalam hal ini, perbuatan genosid dan pendudukan haram di Wilayah Palestin yang diduduki harus dihentikan, dan sebuah negara Palestin yang merdeka serta berdaulat mesti diwujudkan, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kotanya.”
“Palestin berhak mendapatkan tempatnya yang sah sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” tambah kementerian itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.