Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir bagi judul permainan Mobile Legends Bang Bang pada Kejohanan E-Sukan Dunia (WEC 2024) yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi.
Ia selepas kejayaan Malaysia menundukkan Turkiye menerusi kemenangan 2-1 di peringkat suku akhir hari ini.
Malaysia dibarisi hampir sepenuhnya pemain SRG diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz) dipaksa bekerja keras pada perlawanan pertama selepas Turkiye mempamer aksi melawan.
Namun, Sekys yang menggunakan hero ‘Nolan’ tampil dengan aksi cukup tangkas, merakam 13 ‘kills’ secara peribadi, membantu Malaysia mendapatkan mata pertama.
Bersambung perlawanan kedua, segalanya bagai serba tidak menjadi buat Malaysia dengan Turkiye berjaya mempamerkan kebangkitan, menamatkan pertarungan yang berlangsung selama 13 minit itu itu untuk mengikat kedudukan 1-1, mengheret aksi ke perlawanan penentuan.
Kali ini, Sekys kembali dengan rentak kemasnya dengan menggunakan hero ‘Alpha’, menyukarkan lawan untuk menyekat serangan yang dilakukan Malaysia.
Dan tempoh 13 minit juga diambil Malaysia untuk menutup aksi, mengesahkan kemenangan 2-1, sekaligus mara ke peringkat separuh akhir.
Lawan sukar menanti Malaysia di peringkat seterusnya apabila dijadualkan bertemu dengan Indonesia bagi perebutan tiket ke Grand Final.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.