comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia jimat RM7 bilion guna sisa hutan bagi jana kuasa

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia mampu jimat sehingga RM7 bilion menjelang 2030 dengan penggunaan sisa perhutanan seperti pelet biojisim bagi penjanaan tenaga.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia mampu menjimatkan sehingga RM7 bilion menjelang 2030 dengan penggunaan sisa perhutanan seperti pelet biojisim bagi penjanaan tenaga.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain ke arah tenaga hijau, kaedah alternatif itu sekali gus mengurangkan kebergantungan import arang batu.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menjelaskan, langkah berkenaan juga dapat memenuhi tuntutan di bawah prinsip kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir (ESG).

“Apa yang menjadi kebimbangan ialah adakah kita memiliki bahan (sisa) yang mencukupi atau sebaliknya, sebab itu apa yang kementerian kita buat ialah ladang hutan.

“Kita tanam pokok yang boleh tumbuh dalam tempoh lima tahun dan kemudian kita tuai termasuk tanaman buluh. Buluh juga boleh dibuat sebagai arang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Biojisim Kebangsaan 2023 kali ke-6, di sini hari ini.

Fadillah melancarkan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 (PTBN2030) di Putrajaya

Pada majlis sama, Fadillah turut melancarkan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 (PTBN2030) bagi memperkasa industri biojisim negara, yang disasar menyumbang RM17 bilion untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Jelasnya, PTBN2030 selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam menyasarkan pelaksanaan projek ‘co-firing’ di stesen janakuasa elektrik, iaitu pembakaran bahan api campuran antara arang batu dan pelet biojisim.

Mengulas lanjut, menurut Fadillah, pihaknya merancang untuk menubuhkan hab biojisim tahun depan di lokasi yang belum dikenal pasti sama ada di Kuantan, Pahang atau Gua Musang, Kelantan.

Hab tersebut bertujuan untuk melaksanakan proses pengumpulan bahan mentah biojisim secara berpusat dan teratur, serta menggerakkan rantaian bekalan biojisim negara secara sistematik dan efisien.

Loading...
Terkini