Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Jepun komited perkasa kerjasama tenaga alternatif hidrogen

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba pada sidang media bersama di Putrajaya.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun menyatakan komitmen untuk memperkasakan kerjasama dalam tenaga alternatif hidrogen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu akan dimuktamadkan pada Mei ini dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang akan diadakan kelak.

“Terdapat juga inisiatif baru oleh Sarawak yang melibatkan PETROS bersama PETRONAS dalam membangunkan tenaga alternatif hidrogen.

“Premier Sarawak juga memberikan jaminan dengan sokongan bersama Perdana Menteri Ishiba kerjasama ini dalam teknologi baru dan hidrogen diharapkan akan berjaya, Insya-Allah.

“Kami berharap untuk memudahkan usaha ini secepat mungkin dan dapat dimuktamadkan pada Mei apabila kami bertemu sama ada di Tokyo atau Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perdana Putra.

Tambahnya, dalam mesyuarat dua hala itu, kedua-dua negara turut membincangkan sektor tenaga dengan hubungan jangka panjang bersama syarikat di negara matahari terbit itu.

“PETRONAS LNG yang kini meneruskan usaha tangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan melalui dasar tenaga bersih PETRONAS dengan penghantaran kargo LNG neutral karbon kepada Shikoku Electric dan Hiroshima Gas.

“Saya juga menyebut pembentukan Grid Tenaga ASEAN yang melibatkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura serta inisiatif kabel bawah laut tenaga dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura, yang memerlukan penglibatan Jepun selain negara-negara lain yang terlibat,” ujarnya.

Jelasnya, perkara mengenai pengeluaran nadir bumi melibatkan teknologi dari negara Jepun turut dibincangkan.

Terdahulu, Ishiba diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra bersama isteri, Yoshiko Ishiba sambil diiringi isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini