comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Jepun garis komitmen bersama perkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif

PUTRAJAYA: Malaysia dan Jepun bersetuju bagi menggariskan komitmen bersama untuk terus memperkukuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif.

Persetujuan dicapai ketika lawatan Timbalan Menteri Parlimen bagi Hal Ehwal Luar Negara Jepun, Masahiro Komura ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.

Ini merupakan lawatan pertama Komura ke Malaysia sejak dilantik pada September tahun lalu.

Komura turut mengadakan mesyuarat dua hala serta menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin.

Pada pertemuan itu, kedua-kedua Timbalan Menteri itu turut membincangkan peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta memperkukuh kerjasama sedia ada dalam bidang pertahanan, pelancongan, pendidikan tinggi, dan tenaga hijau.

Mereka turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk Hubungan Dialog ASEAN-Jepun dan peperangan di Gaza.

Komura turut dibawa melawat kampus Universiti Tsukuba cawangan Malaysia, yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, pada 2 September lalu.

Bagi pendaftaran pertama, seramai 13 orang pelajar telah memohon untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam Program Sarjana Muda Sastera dan Sains di bawah Pusat Pengajian Sains dan Reka Bentuk Transdisiplin.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (USD34.39 bilion).

Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (USD29.67 bilion), menyediakan 344,120 peluang pekerjaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini