comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia jalin kerjasama dengan pelbagai pihak ke arah UHC, SDG 2030

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan tiada golongan yang ketinggalan dalam usaha mencapai Perlindungan Kesihatan Sejagat (UHC) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha sama itu akan melibatkan penggubal dasar, penyedia penjagaan kesihatan, persatuan dan sektor swasta.

“Malaysia sedang melaksanakan reformasi kesihatan menyeluruh menumpukan kepada penyampaian penjagaan kesihatan utama serta kesihatan promotif dan pencegahan, pembiayaan mampan dan pengukuhan sumber manusia, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan kami.

“Reformasi itu juga mengutamakan pendigitalan penjagaan kesihatan dan menambah baik keseluruhan tadbir urus dalam penjagaan kesihatan, menangani cabaran seperti ancaman perubahan iklim,” katanya dalam kenyataan negara pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau ke-75 bagi Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia) (WPRCM) di Manila, Filipina, semalam.

Sehubungan itu, beliau menekankan kemajuan ketara yang dicapai dalam pelancaran Rekod Perubatan Elektronik (EMR) berasaskan awan di seluruh kemudahan kesihatan kerajaan, dengan matlamat untuk mewujudkan sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (EHR) sebagai asas utama kepada transformasi digital sektor kesihatan Malaysia.

Bagi memerangi tabiat merokok tembakau dan penggunaan e-rokok di Malaysia, Dzulkefly menzahirkan keyakinan bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang digubal baru-baru ini akan secara signifikan membantu usaha tersebut.

Beliau berkata perundangan baharu itu selaras dengan Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (FCTC), justeru memperkukuh langkah Malaysia untuk menggalakkan persekitaran dan gaya hidup yang lebih sihat untuk semua.

“Kami juga teruja untuk menjalinkan kerjasama demi memastikan Resolusi Kesihatan Paru-Paru, yang dibentangkan pada Kongres Kanser Sedunia pada September, diterima pakai sebagai agenda kesihatan global pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia akan datang,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini memaklumkan WPRCM ke-75 pada 21-25 Oktober ini, bertujuan membincangkan isu-isu semasa, cabaran dan halangan, menerima cadangan atau saranan baharu berkaitan dasar kesihatan sejagat, di samping membangunkan strategi dan penyelesaian sewajarnya.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini