Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Faktor keakraban antara Malaysia dan Indonesia perlu dimanfaat untuk mewujudkan sinergi yang mantap dalam berdepan isu ketegangan di peringkat global.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, kesepakatan itu juga harus dikekalkan dalam memastikan kedua-dua negara mampu membawa pengaruh yang kukuh khususnya dalam kalangan negara ASEAN.
“Kita sedar dunia bahawa dunia penuh dengan ketegangan, ketidakpastian, kerana itulah pandangan Malaysia dan Indonesia perlu terus sinergi.
“Hanya dengan kesatuan negara-negara ASEAN, kerjasama yang baik, suara kita itu akan terus didengar.
“Kita tiada konflik dalam negara-negara ASEAN jadi kerana itulah pertemuan ini sangat intensif untuk kita bahas segala isu bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara Berkembar Petronas hari ini.
Dalam pada itu, Prabowo turut memberitahu, pertemuan yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut membincangkan soal nasib umat Islam di Palestin yang perlu terus diperjuangkan, selain menyokong gencatan senjata di Gaza.
Antara perkara lain yang turut disentuh termasuk isu bilateral antara kedua-dua negara khususnya dalam aspek tenaga kerja, isu sempadan serta kerjasama politik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.