Tumpuan :
Nasional

Malaysia hargai usaha Mesir sokong penyertaan negara dalam BRICS

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama dalam BRICS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan penghargaan itu dalam pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi
di Istana Al-Ittihadiya di Kaherah, Mesir, semalam.

“Perbincangan kami turut menyentuh soal BRICS dan Malaysia menghargai usaha Mesir dalam menyokong penyertaan negara sebagai rakan kerjasama.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, kami akan meneruskan usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan Mesir.

“Mesir adalah rakan penting di rantau ini dan saya akan meneruskan usaha untuk terus maju ke hadapan bersama Mesir yang mempunyai suara penting di rantau ini,” katanya.

Datuk Seri Anwar, yang juga Menteri Kewangan kini dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Mesir.

Pada 24 Oktober lalu, Malaysia diiktiraf sebagai rakan BRICS berserta 12 negara lain iaitu Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Datuk Seri Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada 18 Jun tahun ini.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini