comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia hargai komitmen Jepun mahu keamanan dalam isu Palestin

 

PUTRAJAYA: Malaysia menghargai komitmen Jepun yang menentang pendudukan haram Israel ke atas bumi Palestin serta keperluan mewujudkan keamanan di rantau berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konflik Palestin-Israel itu disentuh dalam pertemuan beliau dan rakan sejawatnya Fumio Kishida sempena  lawatan Perdana Menteri Jepun itu ke Malaysia, hari ini.

Sidang media bersama Datuk Seri Anwar dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Putrajaya.

Katanya, Jepun turut menyatakan sokongan supaya bantuan kemanusiaan disalurkan segera ke wilayah Gaza yang kini dilanda krisis kemanusiaan terburuk.

Beliau memberitahu Jepun menghormati pendirian Malaysia yang mengutuk serangan tanpa henti rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Berhubung konflik Palestin dan Israel, biarpun wujud penekanan yang berbeza, saya menghargai komitmen Kishida yang menentang pendudukan haram Israel di Palestin.

“Kedua ialah mengenai sokongannya supaya wujud keamanan di rantau terbabit dan bantuan kemanusiaan penuh ke Gaza kerana kemusnahan di Gaza lebih teruk melebihi kejadian (bom atom) Hisroshima ketika Perang Dunia Kedua,” jelas beliau.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Kishida di sini.

Sementara itu, Kishida menyatakan pendirian Jepun bahawa semua pihak harus mengelakkan daripada melakukan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang antarabangsa.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan isu hubungan dua hala, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga, serta maklumat dan komunikasi.

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia optimis pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun akan melebihi RM30 bilion (US$6.33 bilion) pada 2023.

Ia menandakan keyakinan tidak berbelah bahagi pelabur dari negara itu terhadap Malaysia.

“Ini sangat mengagumkan (datang) daripada syarikat (Jepun) yang sudahpun melabur di Malaysia, yang sentiasa membuat komitmen untuk meningkatkan dan mengembangkan pembangunan mereka ke Malaysia,”

Anwar berkata, sebagai negara rakan Komuniti Pelepasan Sifar Bersih Asia (AZEC), Malaysia dan Jepun komited untuk melaksanakan usaha yang lebih penting menyahkarbon dan mencapai aspirasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih yang lebih besar.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini