comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia hantar bantuan ke Gaza melalui Jordan

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebarang bantuan kemanusiaan dari Malaysia ke Gaza, Palestin akan menggunakan Lintasan Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan susulan penutupan sempadan Rafah oleh tentera Israel pada awal Mei lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jordan mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pihak mereka juga sudah menghantar bantuan ke Gaza melalui lintasan berkenaan.

“Di pintu Rafah memang telah pun ditutup terus (oleh Israel). Sekarang ini ada satu-satunya pintu yang masih terbuka adalah melalui Lintasan Jambatan Raja Hussein daripada Jordan.

“Jadi penghantaran bantuan selepas ini, saya rasa elok kita buat melalui Jordan kerana Jordan mempunyai hubungan diplomatik dengan pihak Israel dan mereka boleh menghantar (bantuan),” katanya.

FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Kemanusiaan untuk Palestin, di sini hari ini.

Jelasnya, beliau dimaklumkan ketika lawatan kerja ke Jordan pada bulan lalu bahawa Kerajaan Jordan menghantar bantuan sekitar 500 kontena setiap hari ke Gaza.

Menurut Mohamad, kerajaan akan menjadi pengantara untuk menghubungkan Sekretariat Ops Ihsan yang menguruskan bantuan dari Malaysia termasuk badan bukan kerajaan (NGO) lain dengan pihak Jordan bagi proses penghantaran bantuan.

Ujarnya, Kerajaan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Jordan.

Mohamad berkata, setakat ini Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) telah menerima jumlah keseluruhan sumbangan RM98,828,028.83.

Daripada jumlah itu, AAKRP telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM34,992,378.10 kepada pertubuhan antarabangsa di bawah Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) dan Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA), Kementerian Pengajian Tinggi.

Ia bagi kemudahan pembiayaan dan elaun sara hidup untuk pelajar-pelajar Palestin di Malaysia, NGO di bawah Ops Ihsan, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Jordan, Mesir dan Palestin serta Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan bagi penyelenggaraan tahunan Masjid Al-Aqsa.

Manakala kira-kira RM9 juta akan disalurkan antaranya bagi rawatan kanser pesakit Palestin, bekalan air bersih di Gaza, menaik taraf pengurusan sanitasi dan kebersihan air serta naik taraf peralatan perubatan.

FOTO: NSTP

Sementara itu, Mohamad menegaskan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadualkan September depan bakal menjadi pentas utama untuk Malaysia menyuarakan kelantangan membela nasib Palestin dan mengutuk rejim Israel menghentikan serangan terhadap negara itu.

Malah, tambahnya, kerajaan akan membawa suara Malaysia dalam isu ini di segenap pentas antarabangsa yang ada.

“Kita mahu supaya resolusi Majlis Keselamatan PBB, penghakiman sementara oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa itu dikuat kuasa dan rancangan tiga fasa gencatan senjata oleh Amerika Syarikat dan dua negara lain yang diterima semua pihak Zionis.

“Kita dikhabarkan pihak Hamas menerima rancangan ini tetapi ditolak Israel. Mereka sentiasa mencari alasan demi alasan untuk memanjangkan perang dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, sejak perang Israel-Palestin yang meletus pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 37,800 rakyat Palestin terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak manakala lebih 86,800 yang lain cedera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini