NEW YORK: Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melantik Utusan Khas untuk memerangi Islamofobia, sambil menyeru tindakan segera di peringkat global terhadap gelombang ucapan kebencian dan keganasan yang semakin meningkat terhadap golongan minoriti, khususnya umat Islam.
“Kami terkejut dengan trend kebencian, tidak bertoleransi , dan tindakan keganasan terhadap umat Islam yang semakin membimbangkan. Ini tidak boleh berterusan. Dalam era globalisasi, terdapat ruang untuk semua orang hidup bersama. Tanggungjawab kita, di bawah panji dunia yang bersatu, adalah memastikan keamanan akan kekal.
“Malaysia menggesa pelantikan segera Utusan Khas PBB untuk Memerangi Islamofobia,” kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menekankan keperluan mendesak untuk langkah-langkah mempromosikan toleransi beragama, dengan menyatakan bahawa “terdapat ruang untuk semua orang hidup bersama dalam era globalisasi.”
Mohamad juga mengulangi kesediaan Malaysia untuk menyokong usaha PBB dalam memupuk dialog antara komuniti bagi mempromosikan pemahaman dan penerimaan bersama.
“Kami bersedia menyokong sebarang usaha yang dilakukan oleh PBB ke arah memupuk dialog antara komuniti yang akan mempromosikan penerimaan dan pemahaman di seluruh dunia,” katanya.
Sambil mengakui bahawa Islamofobia masih menjadi ancaman besar kepada umat Islam di seluruh dunia, Mohamad menegaskan bahawa isu kebencian terhadap mana-mana kumpulan agama turut menggugat nilai-nilai sejagat mengenai keadilan dan keamanan.
“Islamofobia adalah ancaman kepada umat Islam, tetapi kebencian terhadap pengikut mana-mana agama menggugat nilai-nilai sejagat mengenai keadilan dan keamanan yang kita semua berikrar untuk lindungi.
Kita mesti bertindak sekarang. Tiada tempat untuk kebencian atau tidak bertoleransi di dunia kita,” katanya.
Tema Perbahasan Umum tahun ini ialah “Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang.”- BERNAMA
kuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.