KUALA LUMPUR: Negara anggota EU telah meluluskan perjanjian perundingan mengenai Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, EUDR tidak adil dan berfungsi hanya untuk melindungi pasaran minyak sayuran domestik tidak cekap dan tidak dapat bersaing dengan eksport minyak sawit Malaysia yang cekap dan produktif.
“Peraturan itu adalah usaha disengajakan untuk meningkatkan kos dan mewujudkan halangan untuk sektor minyak sawit Malaysia termasuk lebih 450,000 pekebun kecil.”
“Ia akhirnya akan meningkatkan kemiskinan, mengurangkan pendapatan isi rumah dan memudaratkan masyarakat luar bandar di Malaysia, hasil undian itu sangat berbeza dengan komitmen EU yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia adalah mengecewakan untuk menyaksikan EU menarik diri daripada pasaran global dan mewujudkan dasar perlindungan.
“Langkah ini amat tersasar terutamanya apabila anggota ASEAN dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) semakin mendapat pengaruh dan menarik rakan kongsi baharu dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“EU kini mesti komited untuk melibatkan diri dengan kedua-dua kerajaan dan industri daripada negara pengeluar termasuk sebagai sebahagian daripada platform penebangan hutan yang sedang berlangsung sekarang,” katanya.
Fadillah berkata Malaysia mengulangi semula kedudukan terasnya bahawa pengecualian pekebun kecil diperlukan dalam EUDR untuk menghalang pengimport Eropah daripada meminggirkan pekebun kecil daripada rantaian bekalan.
Malaysia menggesa Kesatuan Eropah (EU) untuk mengambil tindakan sewajarnya berkenaan kebimbangan seluruh sektor minyak sawit dengan berkesan dan cepat.
Beliau berkata EU harus mengiktiraf faedah daripada piawaian Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), ia adalah pensijilan kemampanan mandatori dan mengiktirafnya sebagai laluan kepada pematuhan EUDR. – BERNAMA