Tumpuan :
Nasional

Malaysia galas tugas Pengerusi ASEAN 2025

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Malaysia, hari ini menerima tugas sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 daripada Laos.

Upacara simbolik serahan tugas dibuat Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini.

Dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia memilih tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan komitmen dalam mencapai kemajuan yang dikongsi bersama.

“Ia mempamerkan harapan kami bahawa langkah yang diambil hari ini, akan bertahan lama dalam jangka masa panjang.

“Ini juga menggariskan keazaman untuk memastikan masa depan yang kukuh sepanjang kita bergerak ke hadapan. Dalam setiap masa, tindakan dan keputusan kita akan berpandukan kepada prinsip muafakat.”

“Untuk itu, bersama-sama kita berikan komitmen untuk membina rantau yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan,” katanya dalam ucapan selepas menerima simbolik penyerahan tugas.

Buat pertama kali juga Malaysia turut memperkenalkan logo ASEAN Malaysia 2025.

Logo berkenaan memaparkan lambang ASEAN dalam kitaran berbentuk bunga raya, dengan warna yang mewakili warna utama bendera semua negara anggota ASEAN.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu, iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini