KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) hari ini memutuskan untuk menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan EU (MEUFTA), sekali gus melakar satu lagi detik bersejarah antara negara dengan blok perdagangan itu.
Perkara itu diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Brussels, Belgium, selama dua hari, bermula semalam.
Pejabat Perdana Menteri berkata, penyambungan semula rundingan itu menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dengan salah satu blok perdagangan terbesar dunia itu.
Ia turut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memupuk hubungan ekonomi lebih erat dengan EU yang merupakan salah satu rakan perdagangan dan pelaburan utama bagi negara.
Katanya, pencapaian itu juga menggambarkan kekuatan hubungan yang berterusan antara kedua-dua pihak dan komitmen bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi.
“MEUFTA dijangka membuka manfaat yang besar merentasi pelbagai sektor ekonomi Malaysia, selain mengukuhkan rantaian bekalan global dalam sektor kritikal.
“Ia berpotensi meningkatkan eksport daripada sektor seperti produk elektrik dan elektronik, minyak sawit dan produk berasaskannya, serta peralatan optik dan saintifik ke dalam pasaran EU.
“Selain itu, MEUFTA akan turut menjadi pemangkin dalam menarik pelaburan baharu dari EU dalam sektor termaju seperti tenaga hijau dan pembuatan termaju, selaras matlamat pembaharuan industri dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2020),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, rundingan bagi MEUFTA yang dilancarkan pada 2010 dilaporkan ditangguh selepas tujuh pusingan pada 2012.
Ia berikutan Malaysia tidak bersetuju berhubung beberapa isu seperti sawit, dasar pemerolehan, subsidi dan klausa kelestarian EU.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, EU adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2023 dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga November 2024, perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada RM200 bilion, berbanding tempoh sama pada 2023.
Hingga 2023, pelaburan EU di Malaysia menjana lebih 153,000 pekerjaan melalui 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion.
Pejabat Perdana Menteri berkata, penyambungan semula rundingan MEUFTA adalah bukti visi bersama kedua-dua pihak dalam kerjasama ekonomi serta aspirasi untuk membuka potensi perkongsian perdagangan dan pelaburan.
“Kerajaan Malaysia komited mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, selain memastikan faedah bersama Malaysia dan EU.
“Kerajaan juga akan terus mengadakan libat urus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan berkaitan untuk memastikan MEUFTA mencerminkan kepentingan nasional serta aspirasi ekonomi Malaysia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.