KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka berdepan beberapa lagi siri luruan monsun sehingga Monsun Timur Laut (MTL) berakhir, Mac depan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, negara mengalami empat episod hujan lebat akibat luruan monsun sejak November lalu.
Katanya, siri luruan monsun diramal membawa hujan berterusan, dengan kawasan lebih berisiko ialah di selatan Semenanjung dan Sarawak serta Sabah.
“Luruan monsun masih boleh berlaku sepanjang musim MTL yang dijangka berakhir pada Mac depan.
“Luruan monsun ini akan menyebabkan hujan lebat berterusan untuk beberapa hari dan boleh membawa kepada banjir,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Hisham berkata, secara klimataologi, luruan monsun pada Januari dan Februari lebih tertumpu di selatan Semenanjung dan barat serta selatan Sarawak dan Sabah.
“Kawasan lain juga boleh menerima hujan monsun jika berlaku peralihan arah tiupan angin dan kelembapan udara adalah tinggi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.