Tumpuan :
Nasional

Malaysia dihormati kerana pengorbanan petugas SAR gempa bumi Turkiye

FOTO: Jabatan Perdana Menteri

Oleh Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Jasa dan pengorbanan petugas mencari dan menyelamat SAR ketika bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria bulan lalu membuatkan Malaysia dihormati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keikhlasan anggota terlibat dalam membantu mangsa itu mendapat perhatian pemimpin negara itu yang turut menzahirkan penghargaan atas bantuan yang diberikan.

“Pertemuan dengan Presiden (Recep Tayyip Erdogan) yang pertamanya rombongan menteri dan pegawai bersama saya, selepas itu saya seorang berbincang dengan beliau, beliau sangat sentimental, penuh emosi melahirkan penghargaan”

“Tentunya penghargaan itu disampaikan kepada saya, tetapi saya sedar bukan saya yang buat sumbangan itu. Saya hanya menumpang kerana jentera yang bersama-sama mengharumkan nama negara kita dan dihormati di dunia.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan di Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Pertahanan Awam Tahun 2023 dan Jamuan Makan Tengah Hari Bersama Pasukan Penyelamat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia Ke Turkiye.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali.

Sebelum ini Malaysia menghantar 142 anggota penyelamat dan dua ekor anjing pengesan (K9) bagi menyertai misi SAR mangsa gempa bumi di Turkiye, sekali gus menjadi pasukan operasi pertama dari negara ASEAN yang tiba di negara itu.

Pasukan diketuai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang turut disertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu terawal sampai di tapak bencana di Gaziantep.

Secara keseluruhan, pasukan SAR Malaysia berhasil mengeluarkan 52 mangsa dari beberapa lokasi runtuhan.

Loading...
Terkini