KUALA LUMPUR: Malaysia diangkat sebagai pengerusi bersama dengan United Kingdom (UK) bagi Dialog Perhutanan, Pertanian dan Perdagangan Komoditi (FACT) bermula tahun ini sehingga 2027.
Pengumuman dibuat oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas pertemuan dengan Menteri Iklim UK, Kerry McCarthy di London.
Johari berkata, pelantikan itu adalah satu pengiktirafan terhadap kejayaan Malaysia dalam memajukan agenda kemampanan dalam pengeluaran komoditi di peringkat global.
Katanya, McCarthy juga melihat kesungguhan Malaysia dan beliau mahu menggunakan Malaysia sebagai contoh baik kepada negara pengeluar yang masih belum menyokong idea kemampanan ini.
“Kita nak menunjukkan Malaysia ada ‘sustainable palm oil’ (minyak sawit mampan). Kalau UK boleh terima ‘certification’ (pensijilan) kita, sudah tentu negara Eropah lain terima hakikat pensijilan MSPO ini boleh digunapakai untuk menjaga kemampanan sesebuah negara apabila mengeluarkan komoditi,” katanya.
Dialog FACT dilancarkan ketika sidang kemuncak COP26 di Glasgow, Scotland, pada 2021.
Ia menetapkan empat bidang keutamaan termasuk akses pasaran, sokongan pekebun kecil serta keboleh-kesanan dan ketelusan selain kepentingan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi baharu dalam industri komoditi.
Dialog Fact disertai 28 negara termasuk 16 negara pengeluar komoditi seperti kelapa sawit, getah, koko dan kayu-kayan selain 12 negara pengimport bahan komoditi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.