Tumpuan :
Nasional

Malaysia di kedudukan ke-33 Indeks Inovasi Global, pencapaian tertinggi sejak 2016

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024 dengan skor keseluruhan 40.5, iaitu pencapaian tertinggi sejak tahun 2016.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pencapaian itu menandakan peningkatan ketara buat negara setelah tiga tahun berturut-turut menduduki tangga ke-36.

“Ia menunjukkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus menambah baik ekosistem inovasi negara dan seterusnya bagi meningkatkan daya saing negara di peringkat global,” katanya.

Berdasarkan Laporan GII 2024 itu juga, Malaysia kekal menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah atas.

Bagi negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura.

Selain itu, Malaysia turut berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi tiga sub-indikator iaitu Graduates In Science And Engineering, High-Tech Exports dan Creative Goods Exports.

Menurut MOSTI, ekosistem inovasi Malaysia turut diperkukuh dengan Kuala Lumpur menduduki tangga ke-93 dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi.

“Kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi buat kali pertama sejak 2016 merupakan bukti peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab inovasi dan kemajuan teknologi di rantau Asia Tenggara.

“Peningkatan prestasi Malaysia dalam GII dan kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi adalah bukti komitmen kerajaan amnya dan MOSTI khasnya untuk memperkukuhkan ekonomi negara berasaskan kepada inovasi,” katanya.

Mengulas lanjut, MOSTI berkata, Malaysia akan terus mempertingkatkan usaha untuk melabur dalam modal insan dan infrastruktur teknologi bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

Bagi memastikan Malaysia mencapai kedudukan 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025, MOSTI dengan kerjasama semua Kerajaan Negeri sedang membangunkan Indeks Inovasi Malaysia yang akan dilancarkan pada tahun depan.

Inisiatif itu bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ekosistem inovasi di setiap negeri sekali gus membolehkan pelaksanaan intervensi yang bersesuaian ke arah memperkukuhkan ekosistem inovasi negara.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia MADANI untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini