Oleh:Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan sasaran untuk Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar dunia sebelum 10 tahun.
Itu antara tujuh penanda aras sasaran jangka sederhana yang ingin dicapai di bawah kerangka dasar baharu Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat.
Datuk Seri Anwar berkata rakyat dalam negara perlu mempunyai minda global dan mengutama pengantarabangsaan ekonomi bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara 4 hingga 5%. Namun, jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5%, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan 6%.” kata beliau ketika melancarkan pelan hala tuju Ekonomi Madani:Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pagi tadi.
Perdana Menteri turut berkata semua pihak mesti melaksanakan pembaharuan agar Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan “ease of doing business”.
“Setakat ini, beberapa syarikat telah menzahirkan komitmen pelaburan antaranya Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng dan Samsung Engineering.” katanya.
Kerajaan juga akan peruntuk RM100 juta sebagai jumlah permulaan bagi usaha melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau.
“Kerajaan akan menaik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur.Antaranya sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu dan ; pusat data di Sedenak, Johor dan industri hiliran getah di Kuala Nerang, Kedah.”
Perdana Menteri turut berkata bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pelaksanaan Digital ID juga akan disegerakan bagi mengembangkan perniagaan dalam talian dan aplikasi berkaitan bagi memacu reformasi ekonomi digital.
“Geran padanan digitalisasi akan ditambah RM100 juta bagi membantu PMKS menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital.” kata beliau.
Dalam pada itu, sasaran lain yang ditetapkan dalam Ekonomi Madani termasuk peratusan pendapatan buruh mencapai 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan;
meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60% dan
Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia.
Selain itu, kerangka baharu ini juga meletak sasaran Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia dan
Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3% atau lebih rendah.