comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia dapat perhatian dunia, banyak negara mahu tingkat hubungan kerjasama – PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Malaysia kini semakin mendapat perhatian dunia dengan banyak negara termasuk negara maju menyatakan hasrat untuk meningkatkan hubungan diplomatik, perdagangan dan pelaburan.

Merumuskan lawatan ke beberapa negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian tegas terhadap isu sejagat di pentas antarabangsa dan dasar kerajaan yang jelas menarik minat pemimpin asing untuk mendekati Malaysia.

“Saya lihat suara kita, pandangan kita umpamanya, banyak negara yang minta supaya hubungan ditingkatkan, mengundang kita ke sana dan telah menyatakan keinginan mereka untuk melawat Malaysia.

“Ini termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, semua menyatakan bahawa awal tahun depan mereka berhasrat untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media akhir bersama media Malaysia yang membuat liputan sempena lawatan sulung beliau ke Brazil dan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20), di sini.

Anwar memulakan lawatan kerja ke China pada 4 November lalu termasuk di Shanghai atas jemputan daripada rakan sejawatnya, Li Qiang selain Beijing, sebelum meneruskan lawatan kerja ke Mesir atas jemputan Presiden, Abdel Fattah El-Sisi.

Perdana Menteri kemudiannya ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam yang membincangkan situasi terkini di Palestin dan Lubnan serta perkembangan serantau, serta mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru.

Seterusnya, beliau ke Rio de Janeiro, Brazil bagi memenuhi undangan Presiden, Luiz Inacio Lula da Silva untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.

Dalam mana-mana lawatan, Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk mengadakan mesyuarat dua hala bersama pemimpin tertinggi pelbagai negara dalam usaha menjalin hubungan kerjasama dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.

Untuk rekod, keseluruhan lawatan tersebut berjaya menjana potensi eksport bernilai lebih RM16 bilion.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, berdasarkan pemerhatiannya dan rakan-rakan di barisan Kabinet, mereka percaya bahawa Malaysia diberi pertimbangan serta perhatian yang baik sepanjang lawatan terbabit.

“Jadi saya lihat ada perhatian yang sangat baik kerana pendirian kita iaitu apa yang disebut ‘ASEAN Centrality’ (Pemusatan ASEAN), kemudian kita ambil sikap terbuka, berdagang dengan semua, tapi ada pendirian kita tegas yang kita tidak tolak ansur,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini