comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-China setuju tubuh institusi TVET 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia dan China setuju menubuhkan sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini yang akan dikelolakan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu disepakati dalam kunjungan hormat Naib Presiden China, Han Zheng di Sri Satria, di sini hari ini.

“Mereka (China) telah memberi peluang kepada pelajar TVET mereka dalam bidang kenderaan elektrik, kecerdasan buatan (AI), komunikasi telefon pintar, teknologi solar dan teknologi lain untuk ditawar kepada pelajar Malaysia.

“Saya akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui MARA untuk wujudkan insitusi itu,” katanya yang ditemui selepas kunjungan hormat berkenaan yang berlangsung lebih sejam.

Zheng berada di Malaysia dalam lawatan rasmi empat hari bermula semalam bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, penubuhan institusi itu tidak melibatkan sebarang kos pembinaan, sebaliknya menggunakan infrastruktur institusi TVET sedia ada.

Dari segi modul TVET tersebut, ia akan disediakan melalui syarikat negara tembok besar itu yang terdapat di negara ini.

“Akhirnya perjanjian antara (institusi) TVET (terbabit) dan pihak pemain industri, 100 peratus pelajar yang dilatih akan diambil bekerja oleh syarikat China di negara ini yang memanfaatkan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia perlu mempelajari pembangunan kawasan luar bandar di China.

Jelasnya, pendekatan negara tersebut yang tidak menggalakkan migrasi daripada luar namun, mewujudkan infrastruktur, membawa industri selain memberi latihan kepada usahawan di luar bandar.

“Ini akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak dan menyebabkan kuasa beli masyarakat luar bandar dapat dipertingkatkan,” katanya.

Jelasnya, beliau dan Zheng turut bersetuju agar program pembangunan industri halal dipertingkatkan kerana terdapat 14 industri zon halal di negara ini.

Beliau juga menawarkan kepada pelabur dari China untuk membuka kilang di Malaysia.

“Kita (Malaysia dan China) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi pengeluaran produk halal yang dikeluarkan di sini, dieksport di negara Islam dan negara lain,” katanya.

China adalah rakan dagang Malaysia terbesar sejak 2009 dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara tahun lalu mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi 2022 adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan 15.6 peratus, berbanding tempoh sama pada 2021.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini