KUALA LUMPUR: Malaysia telah menghantar Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) pertama kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ke-29 pada 31 Disember lalu.
Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, ia membuktikan komitmen negara terhadap Perjanjian Iklim Paris dan agenda iklim ASEAN.
“Kita telah lancarkan BTR pertama, ia telah dihantar ke UNFCCC pada 31 Disember lalu, ini sebahagian komitmen kita dalam Perjanjian Iklim Paris.
“Kita merupakan negara ke 85 daripada 198 negara telah bentangkan BTR mengikut jadual, ini telah diketuai Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) yang menyediakan dokumen dengan sokongan pelbagai pihak.
“Ini selaras dengan komitmen kita mencapai sasaran Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) menjelang 2030 dan dalam jangka masa panjang, kerajaan sejak tahun lepas telah meletakkan sasaran sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Mengulas mengenai Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu COP 30 yang akan diadakan di Brazil November tahun ini, Nik Nazmi menjelaskan Malaysia bersama negara tuan rumah telah mengadakan beberapa siri perbincangan mengenai agenda ingin dibawa termasuk pemeliharaan hutan dalam menangani perubahan iklim.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hasil Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC): Pelancaran Laporan Pembabitan Malaysia di UNFCCC-COP29 (Persidangan Ke-29 Pihak-Pihak) dan Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) di ibu negara hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.