Oleh: Fahim Akasha Musa
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO desak kerajaan mengambil tindakan tegas dan mengharamkan pelawak Jocelyn Chia menjejakkan kaki ke negara ini.
Ketua Pergerakannya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kebiadapan wanita itu dengan berjenaka mengenai tragedi kehilangan pesawat MH370 adalah melampau.
“Laporan polis sudah dibuat terhadap pelawak tersebut dan Pemuda UMNO akan melihat dari segi perundangan, apa tindakan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas pelawak itu.
“Yang paling penting, Malaysia bukan bumi untuk petualang seperti Jocelyn Chia,” katanya selepas menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS), di sini, hari ini sebagai membantah tindakan bekas warga Singapura, Jocelyn Chia menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat yang menyinggung rakyat Malaysia menerusi persembahan komedi berdirinya.
Terdahulu, tular di media sosial satu klip video yang memaparkan pelawak wanita itu memperlekeh Malaysia dalam persembahannya bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ yang diadakan di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.