Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
RIO DE JANEIRO: Malaysia dan Brazil bersepakat untuk menggunakan ASEAN dan BRICS bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang baharu seiring Kepengerusian kedua-dua negara tersebut dalam platform berkenaan.
Persetujuan itu diperoleh dalam pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva di Forte de Copacabana, di sini.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan 30 minit itu, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan peluang untuk meneroka inisiatif bersama pada tahun 2025 semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN dan Brazil mempengerusikan BRICS serta Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-30 (COP30).
“(Kedua-dua pemimpin) berjanji untuk bekerjasama ke arah sistem multilateral yang diperbaharui berasaskan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.
“(Kedua-dua pemimpin menyedari keperluan) tadbir urus global untuk lebih berfokus, demokratik, berkesan, telus, dan bertanggungjawab, mencerminkan realiti serta cabaran sosial, ekonomi, dan politik abad ke-21 selain peningkatan kepentingan negara-negara Selatan Global,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Anwar dan Lula mengambil maklum kemunculan kuasa tengah baharu, pembuatan keputusan dasar dan pertumbuhan ekonomi baharu yang sepatutnya membuka jalan ke arah dunia multipolar yang lebih adil, saksama, demokratik serta seimbang.
Mereka juga mengakui keperluan pembaharuan menyeluruh dalam tadbir urus global yang mengambil kira aspirasi negara-negara sedang membangun untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa.
“Kedua-dua pemimpin mengalu-alukan peluang untuk kerjasama yang lebih erat melalui Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Brazil serta menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang sedang berjalan dalam dokumen ‘Kawasan Kerjasama Praktikal ASEAN-Brazil’, menurut kenyataan itu.
Pertemuan Anwar dan Lula itu juga meraikan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang berasaskan nilai kebersamaan seperti keamanan, kerjasama, dan pembangunan lestari.
Sementara itu, Presiden Brazil bersetuju untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada tahun depan.
“Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Presiden Brazil atas jemputan untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 dan menjemput beliau untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur sebagai Tetamu Pengerusi.
“Dengan sukacitanya (jemputan) diterima oleh Lula,” menurut kenyataan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.