Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
RIO DE JANEIRO: Potensi kerjasama Malaysia dan Brazil sangat besar walaupun berasal daripada dua wilayah yang jauh.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua-dua negara mempunyai kelebihan masing-masing yang perlu diterokai secara bersama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Brazil antara tonggak ekonomi Amerika Latin dan pemulihan ekonomi di rantau itu.
Malaysia pula ujarnya, kini semakin diiktiraf sebagai hab semikonduktor serta menjadi tarikan utama bagi pusat data dan kecerdasan buatan (AI).
“Walaupun jumlah perdagangan eksport semikonduktor dari Brazil agak kecil berbanding Malaysia, anda (Brazil) telah cemerlang dalam beberapa bidang yang boleh memberikan kelebihan kepada kedua-dua negara kerana kami juga cemerlang dalam bidang-bidang lain,” katanya dalam Mesyuarat Meja Bulat dengan Industri Brazil, di sini.
Mesyuarat itu dihadiri 34 pemimpin industri dari 20 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan Brazil yang berminat untuk mengimport produk dan perkhidmatan minyak dan gas, semikonduktor serta minyak sawit dan lemak masak.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, keperluan untuk memberi tumpuan kepada aktiviti semikonduktor turut dibangkitkan dalam pertemuan dua hala beliau bersama Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva di Forte de Copacabana.
Terdahulu, dalam pertemuan dengan wakil daripada industri semikonduktor Malaysia dan Brazil, Anwar menyifatkan kerjasama kedua-dua negara dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta industri semikonduktor sangat kritikal ketika ini.
Beliau berkata, ia bagi memperluaskan lagi peluang perniagaan dałam pasaran antarabangsa.
“Kerjasama dengan Brazil pada pandangan saya adalah sangat kritikal pada ketika ini kerana ia akan memacu negara-negara di Selatan Global untuk menggunakan kepakaran, pengetahuan, penyelidikan dan kecemerlangan dalam bidang yang kita boleh capai,” katanya.
Anwar ketika ini mengadakan lawatan sulung ke Brazil antara lain bagi pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil dan menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.