Tumpuan :
Nasional

Malaysia bincang lanjutan tempoh pengecualian visa pelancong ke China 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

SHANGHAI: Pelanjutan tempoh pengecualian visa pelancong untuk rakyat Malaysia ke China daripada 15 kepada 30 hari, antara perkara yang akan dibincangkan dalam lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke negara itu, bermula hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka juga akan membincangkan mengenai pelanjutan tempoh pengecualian itu daripada berakhir Disember 2025 kepada akhir 2026.

Beliau berkata perkara itu dijangka dibangkitkan dalam pertemuan Datuk Seri Ahmad Zahid bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, pada sesi tertutup Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL), di sini, esok.

“Pendirian kita (Malaysia) dengan memberi visa percuma kepada rakyat China atas alasan untuk menggalakkan industri pelancongan, iaitu 30 hari…Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bincangkan sebelum ini agar China saling bertukar, kerana sekarang China beri kita (pelancong Malaysia) hanya 15 hari (tanpa visa).

“Dalam perbincangan tertutup esok, kita akan bawa semula perkara itu. Di peringkat perbincangan pegawai, China sudah menunjukan reaksi positif namun belum menjadi ketetapan. Positifnya kerana sedia untuk berbincang,” katanya pada sesi bersama media Malaysia di sini, hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid dijadual memulakan rangka lawatan ke China bermula hari ini sehingga 12 September bersempena GPSCFL yang berlangsung di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu pada 8 dan 9 Sept atas undangan bersama Pengerusi GPSCFL, Tsang Wai-Hung dan Presiden Persatuan Persahabatan China, Chen Zinmin.

Media sebelum ini melaporkan ketika lawatan lawatan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia pada Jun, China bersetuju melanjutkan kemudahan pengecualian visa itu kepada rakyat Malaysia sehingga akhir 2025, manakala Malaysia melanjutkan kemudahan sama kepada rakyat China sehingga penghujung 2026.

Langkah dua negara itu bagi menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk serta mengukuhkan hubungan persahabatan Malaysia-China.

Selain itu, Datuk Seri Saifuddin berkata isu jenayah rentas sempadan melibatkan jenayah pemerdagangan manusia dan jenayah siber, turut akan menjadi fokus Malaysia pada forum itu yang disifatkannya sebagai cabaran baharu dan memerlukan komitmen bersama antara negara.

Malaysia dan China sebelum ini memeterai pelanjutan perjanjian bagi kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara berkuat kuasa sehingga 2034, dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Republik Rakyat China Kali Kelima Mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan (JWG Ke-5), di Beijing pada Jun. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini