comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia bersama seruan antarabangsa, desak gencatan senjata di Gaza dan Lubnan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bilateral dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken semalam.-FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIANTIANE: Malaysia menyuarakan sokongan terhadap seruan antarabangsa yang mendesak gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza dan Lubnan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan kenyataan itu menegaskan perkara itu bagi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih buruk serta memastikan keperluan untuk semua pihak menghentikan sebarang tindakan yang boleh memburukkan lagi ketegangan di rantau Asia Barat.

Kerajaan turut mengulangi pendirian menyokong pelan tiga fasa yang diusulkan ke arah keamanan di Gaza serta menyeru agar ia dilaksanakan dengan segera tanpa sebarang syarat tambahan bagi menghentikan kekejaman ke atas penduduknya.

Beliau menyampaikan kenyataan itu semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang disertai Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di sini.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan AS menyelesaikan isu-isu tertunggak seperti persetujuan pelaksanaan Protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Malaysia juga mengusulkan kerjasama dalam program-program pembangunan kapasiti yang merangkumi modal insan, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, serta pembangunan bandar mampan, selari dengan komitmen negara terhadap pembangunan lestari.

Sebelum persidangan ini, Datuk Seri Anwar turut mengadakan pertemuan bilateral dengan Blinken semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini