comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia berhasrat perluas perjanjian tenaga dengan lebih banyak negara ASEAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN 2024 di Kuala Lumpur.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memperluaskan perjanjian tenaga dengan lebih banyak negara di Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini kerajaan sudah ada perjanjian di antara negara Thailand, Laos dan Singapura untuk bekalan tenaga dan sebagainya.

“Mungkin nanti kita boleh kembangkan ke seluruh negara dalam Asia Tenggara. Disebabkan kita melihat kedudukan tanah Semenanjung keperluan tenaga begitu banyak.

“Tetapi sumber kita mungkin semakin kurang khususnya nanti bila arang batu dihapuskan.

“Kita masa ini akan bergantung kepada gas. Gas pula makin mahal sebab kita terpaksa import.

“Jadi kita kena cari alternatif lain. Sebab itu alternatifnya, solar, hidrogen dan biojisim termasuk bahan api bio yang akan kita keluarkan daripada bahan-bahan buangan yang boleh menghasilkan tenaga.” Katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN 2024 di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN 2024 di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, usaha itu juga mempunyai potensi untuk dibangunkan di Kepulauan Borneo.

“Potensi besar juga kita kena lihat Sarawak dan Sabah. Malahan Kepulauan Borneo itu sendiri yang berada di tengah-tengah ASEAN ini merupakan potensi menjadi pembekal tenaga boleh diperbaharui pada masa akan datang.

“Ini yang kita lihat hari ini bagaimana kita dapat jalinkan hubungan sama supaya pertama sekali penjanaan kuasa itu akan terjamin, mampan, mesra alam dan mampu dibiayai pengguna.

“Itu matlamat kita, sebab itu kita perlu melibatkan diri dengan pihak berkepentingan dengan negeri-negeri lain. Bukan sahaja pengeluaran tetapi juga untuk kita bekalkan ke rantau ASEAN ini.” Katanya.

Terdahulu dalam ucaptama beliau, Datuk Seri Fadillah menegaskan PETRA terus komited untuk menyemarakkan ekonomi berasaskan hidrogen menjelang 2050.

Komitmen itu adalah cerminan aspirasi untuk mencapai penyahkarbonan global yang disifatkan sebagai perkara penting menerusi perintis penyelesaian tenaga.

15 April lalu, media melaporkan Kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran.

Keputusan itu selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid (APG).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini