Tumpuan :
Nasional

Malaysia berhasrat jadi penggerak kawal selia sistem penjagaan kesihatan ASEAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan anugerah sepanjang hayat kepada Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof Ir Dr Fatimah Ibrahim, pada Majlis Penutup IMDEC 2024 di KLCC. – FOTO: NSTP

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Malaysia komited meningkatkan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) dan menjadi penggerak dalam usaha mewujudkan kawal selia yang lebih cekap serta bersepadu dalam sistem penjagaan kesihatan di rantau ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk memastikan keselamatan bagi peranti perubatan, memperkukuh sistem penjagaan pesakit, penambahbaikan infrastruktur dan penggunaan teknologi moden dalam rawatan.

Beliau menjelaskan, aspek kesihatan menjadi satu daripada tonggak penting bukan sahaja di bawah ASEAN malah menjadi satu daripada strategi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Mengambil kira peranan sebagai Pengerusi ASEAN semakin hampir, iaitu pada 2025, Malaysia komited sepenuhnya untuk meningkatkan MRA dan memimpin usaha mewujudkan kawal selia lebih cekap dan bersepadu bagi rangka kerja di rantau ini.

“Sebagaimana kita tahu, tumpuan utama pengerusian ASEAN tahun depan adalah mewujudkan grid tenaga ASEAN, manakala yang kedua (tumpuan) digitalisasi dan penjagaan kesihatan.

“Ia dikenali sebagai tonggak pertumbuhan mampan bukan sahaja di bawah strategi ASEAN tetapi menjadi fokus di bawah NIMP 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Tambah Anwar, Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan cabaran besar untuk merealisasikan hasrat itu, terutamanya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan perubatan berteknologi tinggi dan inovasi penjagaan kesihatan.

“Kita lihat penekanan negara ini dalam bidang transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) adalah secara bersungguh-sungguh, jadi ia memerlukan kesediaan rakan-rakan yang memimpin KKM khususnya Dr Dzulkefly menerimanya sebagai satu cabaran dan ia tentu menuntut perubahan yang agak mendadak,” katanya.

Jelasnya lagi, walaupun negara berdepan kekangan dari segi kewangan, kerajaan masih memperuntukkan belanjawan kedua tinggi itu bagi 2025.

Ia bagi membolehkan KKM mempertingkat kualiti sistem kesihatan sedia ada termasuk dari segi infrastruktur, peningkatan kemahiran (upskilling) petugas dan integrasi digital yang lebih maju termasuk AI, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi rangkaian 5G.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini