comscore
Tumpuan :
Dunia

Malaysia berdukacita di atas tragedi menimpa Presiden Iran dan delegasi kepemimpinan Iran – PM 

FOTO: Anwar Ibrahim / Facebook

Oleh: Azwaliza Azman

PETALING JAYA: Malaysia berdukacita di atas tragedi yang menimpa Iran, yang mengorbankan Presiden Ebrahim Raisi serta Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai lain dalam nahas helikopter terhempas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menitipkan doa dan solidariti buat rakyat Iran.

“Terkesan dan sedih tatkala menerima laporan mengenai insiden pesawat di wilayah utara Iran melibatkan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan delegasi kepemimpinan Iran, termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amir-Abdollahian.

“Semoga Allah SWT mengampuni dosa mereka dan memberi tempat yang istimewa di sisiNya” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.

Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, beliau sempat bertemu dengan Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

“Beliau menonjolkan sikap yang terbuka tetapi tegas terutamanya dalam soal pembangunan rakyatnya serta punyai keupayaan yang tinggi dalam memelihara Iran sebagai negara dan tamadun yang kuat.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin.” tambah Datuk Seri Anwar.

Media sebelum ini melaporkan, helikopter yang membawa Raisi dan delegasi yang mengiringi beliau, terhempas pada Ahad di hutan Dizmar di wilayah Azerbaijan Timur.

Pasukan mencari dan menyelamat telah menyusuri kawasan pergunungan dalam kabus tebal semalaman dan menemui bangkai pesawat itu awal pagi tadi.

Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai lain turut berada di dalam pesawat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini