comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia berduka atas kematian Yahya Sinwar – PM

FOTO: Anwar Ibrahim / Reuters

PETALING JAYA: Malaysia berduka atas kehilangan seorang pejuang dan pembela rakyat Palestin, Al Syahid Yahya Sinwar yang dibunuh ganas oleh rejim biadab Zionis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komuniti antarabangsa sekali lagi gagal memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak, lantas memburukkan lagi situasi konflik.

“Malaysia mengutuk keras pembunuhan ini dan ternyata percubaan rejim untuk melemahkan tuntutan pembebasan tidak akan berjaya.

“Walhasil, Malaysia mendesak agar kebiadaban Israel disanggah komuniti antarabangsa dan betapa pembantaian berterusan warga Palestin mesti segera dihentikan,” katanya menerusi status di laman Facebook, hari ini.

Semalam, Hamas mengesahkan Sinwar, ketua arkitek serangan Palestin pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza, terbunuh dalam pertempuran.

Timbalan Ketua Hamas dan Ketua Kumpulan Perunding, Khalil Al-Hayya dilaporkan berkata, kematian Sinwar, memberi tamparan hebat kepada kumpulan pejuang itu yang menghadapi serangan udara tanpa henti oleh Israel sejak Oktober 2023.

Sinwar dinamakan Ketua Utama kumpulan itu pada 6 Ogos lalu sebagai pengganti kepada bekas Ketua Biro Politik, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Tehran pada 31 Julai lalu.

Dilahirkan di kem pelarian di bandar selatan Gaza Khan Younis, Sinwar, 62, dipilih sebagai ketua Hamas di Gaza pada 2017.

Pemimpin kontroversi itu menghabiskan separuh umur dewasanya di penjara Israel, adalah pemimpin Hamas paling berkuasa ketika hayatnya selepas pembunuhan Haniyeh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini