Tumpuan :
Nasional

Malaysia berdepan cabaran banjir di kawasan yang tidak pernah terjadi sebelum ini – KP MKN

Malaysia berdepan cabaran banjir di kawasan yang tidak pernah terjadi sebelum ini.- Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia berdepan cabaran serius dengan peningkatan kadar dan intensiti banjir di seluruh negara.

Malah Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin melahirkan kebimbangan apabila bencana itu turut berlaku di kawasan yang tidak pernah terjadi banjir sebelum ini.

“Kita nampak sekarang ini kekerapan (banjir) bertambah, jumlah hari banjir makin lama makin tinggi dan paling merisaukan bagi saya ialah tempat dulu yang tak pernah mengalami banjir sekarang mengalami banjir.

“Kita ada sanak saudara yang mempunyai pengalaman ini tapi kita belum bersedia (untuk menghadapi).

“Macam insiden banjir di Kelantan dan Terengganu dah biasa, kadang-kadang dah terlalu biasa sampai kanak-kanak menantikan banjir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi rapat umum (townhall) Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) 2023, di sini hari ini.

Jelasnya, situasi banjir menimbulkan pengalaman yang trauma kepada mangsa lebih-lebih lagi apabila berlaku banjir lumpur.

Justeru, menurut Raja Nushirwan, situasi itu menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering memberi keutamaan dan memandang serius terhadap projek tebatan banjir di seluruh negara yang menelan kos amat besar.

“Kita tengok di dada akhbar selalu keluar, bila Perdana Menteri pergi mana-mana (kawasan banjir) mesti fokus beliau pada projek tebatan banjir.

“Isu terkait dengan alam sekitar bukan hanya plastik tapi isu macam banjir bagi saya makin lama akan menjadi lebih penting,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan RM11.8 bilion untuk pelaksanaan 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi di seluruh negara dalam Belanjawan 2024.

Mengulas mengenai IKK, Raja Nushirwan berkata, indeks tersebut amat penting untuk meningkatkan lagi kesedaran dan memastikan wujud konsensus mengenai isu keselamatan dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Isu keselamatan di Malaysia semakin lama semakin kompleks. Kalau kita tiada IKK, tugas kita untuk tingkat kesedaran isu keselamatan akan jadi masalah.

“Saya berharap dengan sesi ini rakyat lebih cakna dengan cabaran ini,” katanya.

Sesi rapat umum IKK membincangkan mengenai sembilan teras yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025 iaitu kedaulatan dan keutuhan Malaysia, kestabilan sosiopolitik, tatakelola yang baik, keutuhan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan rakyat serta pengiktirafan antarabangsa.

IKK telah dilancarkan pada 30 Julai lalu sempena Bulan Keselamatan Negara 2024 sebagai instrumen pengukuran rasmi terhadap tahap keselamatan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini