comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia bakal terima dron, bot pemintas dari Jepun

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Jepun, PYT Yoko Kamikawa, di Tokyo, baru-baru ini.

TOKYO : Peralatan yang bakal diterima Malaysia menerusi geran bantuan program peningkatan kapasiti keselamatan (OSA) dari Jepun ialah dron dan bot pemintas untuk pemantauan dan pengawasan sempadan maritim.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian ketika mengulas laporan berita bahawa bantuan itu adalah bagi meningkatkan keselamatan maritim Malaysia memandangkan negara-negara di Asia sedang berusaha menangkis ancaman terhadap perairan mereka.

Mohamad yang merupakan Menteri Pertahanan ketika permohonan bantuan OSA itu dikemukakan berkata, secara keseluruhan diputuskan bantuan itu adalah untuk pemantauan sempadan perairan negara yang luas terutama pantai timur Sabah dan tidak ada kena mengena dengan memperkukuhkan pertahanan negara daripada sebarang ancaman.

“Sempadan maritim kami adalah luas, kami tidak boleh mewujudkan pos pengawal di setiap pulau. Maka, kami melihat kepada teknologi sedia ada dan mendapati dron nampaknya berkesan, dan bot pemintas yang laju diperlukan untuk mengejar penceroboh dalam operasi menyelamat,” katanya ketika program bersama diaspora Malaysia.

Sabtu lalu, Mohamad menandatangani nota OSA itu mewakili Menteri Pertahanan dan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida.

Sebelum penandatanganan dan pertukaran nota itu, diumumkan bahawa Jepun akan menyediakan peralatan pemantauan dan pengawasan kepada Malaysia. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini