KUALA LUMPUR: Seramai 4.82 juta pelancong Muslim datang ke negara ini dengan anggaran pendapatan melebihi RM15 bilion sehingga November tahun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 4.5 juta pelancong Muslim dengan jumlah pendapatan RM14.7 bilion.
Katanya, lima negara Islam utama yang menyumbang ketibaan pelancong ke Malaysia pada tahun lalu adalah Indonesia, Brunei, Pakistan, Arab Saudi dan Kazakhstan pada tahun lalu.
“Jumlah berkenaan menunjukkan lebih 20 peratus pembabitan pelancong Muslim dalam industri pelancongan keseluruhan negara, sekali gus mencerminkan potensi besar yang kita ada untuk menarik lebih ramai pelancong melalui kerjasama strategik.
“Pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka oleh Global Muslim Travel Index (GMTI) membuktikan keunggulan kita dalam segmen berkenaan.
“Selain memiliki warisan Islam yang menarik dengan binaan masjidnya, tapak bersejarah dan tarikan budaya, terdapat juga beberapa faktor yang mempengaruhi peningkatan pelancongan Islam di Malaysia,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran IslamiCruise Malaysia-Saudia, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengasas IslamiCruise International, Suhaimi Abd Ghafar.
Ahmad Zahid berkata, unjuran pasaran pelancongan Muslim dijangka meningkat kira-kira 1.2 peratus setiap tahun dan jangkaan positif itu akan meletakkan Malaysia dalam posisi yang baik untuk menguasai sebahagian besar pasaran ini menjelang 2028.