Tumpuan :
Nasional

Malaysia bakal jadi tuan rumah CEAPAD IV

Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Selaras komitmen menggerakkan usaha pembangunan semula Palestin, Kementerian Luar (KLN) dengan kerjasama Jepun sedang menyelaras penganjuran Mesyuarat Menteri-Menteri Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) Ke-4 yang akan diadakan di negara ini, tahun ini.

KLN dalam satu kenyataaan berkata, fokus utama CEAPAD IV merangkumi program pembangunan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh dan pembangunan semula infrastruktur kritikal di Palestin.

“KLN kini sedang menyelaras dengan Jepun bagi menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri CEAPAD Ke-4 (CEAPAD IV) di Malaysia pada tahun ini.

“Ia selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Januari lalu mengenai keperluan mendesak mempercepatkan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin.

” KLN komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Jepun dibawah rangka kerja CEAPAD bagi menjawab seruan mendesak rakyat Palestin untuk mendapatkan bantuan,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, Malaysia dan Jepun akan berunding dengan peserta CEAPAD bagi mendapatkan komitmen dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan usaha kumpulan ini dalam membangunkan semula Gaza.

Ini termasuk satu siri mesyuarat penyelarasan sebelum persidangan bagi memastikan bantuan dan sumbangan kepada Palestin disalurkan dengan lebih cekap, tersusun, dan mampan untuk pembangunan jangka panjang.

Kenyataan sama turut memberitahu, inisiatif terbabit mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam mendapatkan sokongan antarabangsa serta menggalakkan kerjasama bagi memastikan usaha pembangunan semula Palestin dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.

Memperincikan usaha pembangunan semula infrastruktur penting di Palestin, jelasnya, ini termasuk pembinaan semula sekolah, hospital, dan masjid.

Ia bukti komitmen bersama kerajaan, sektor swasta dan rakyat Malaysia dalam menyokong usaha pemulihan Palestin.

KLN turut memaklumkan CEAPAD adalah platform serantau yang diterajui Jepun sejak 2013 bagi menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan, dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.

“Mesyuarat Peringkat Pegawai CEAPAD yang terbaru pada 18 Julai 2024 mengulangi keperluan mendesak untuk meningkatkan penyelarasan dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza, serta kepentingan pemulihan dan pembangunan jangka panjang, termasuk reformasi tadbir urus bagi memastikan pembangunan mampan untuk Palestin.

“Malaysia kekal memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi memastikan CEAPAD IV diterjemahkan kepada tindakan nyata yang menyokong pembangunan semula dan kestabilan jangka panjang Palestin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini