Oleh: Mior Abdul Malek Raiyani
BAHRAIN: Malaysia dan Bahrain komited untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan kewangan kedua-dua negara, termasuk berkait mata wang kripto dan platform sandbox.
Komitmen itu dizahirkan ketika Perdana Menteri menerima kunjungan Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, Shaikh Salman Bin Khalifa Al Khalifa di hotel penginapannya di sini.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama pelancongan, kesalinghubungan Kuala Lumpur – Manama, dan sektor pembuatan.
Bahrain juga menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China yang mana Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa akan berangkat hadir.
Perdana menteri kemudiannya Mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb yang juga Pengerusi Majlis Hukama’ Muslimin.
Fokus utama pertemuan, menilai semula tahap kerjasama yang telah dipersetujui pada pertemuan di Kaherah, November lalu iaitu memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Institut Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Al-Azhar Al-Sharif selain penawaran biasiswa untuk pelajar Malaysia menyambung pelajaran di institusi berkenaan.
Turut dibincangkan penubuhan rasmi Majlis Hukama’ Muslimin di Malaysia, hal ehwal Islam dan situasi di Palestin.
Perdana Menteri turut memperkenalkan Dato’ Mohd Nakhaie Ahmad kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif sebagai wakil Malaysia yang baharu dalam Majlis Hukama’ Muslimin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.