PETALING JAYA: Malaysia dan Arab Saudi dijangka dapat memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara dalam pelbagai bidang menerusi penerokaan serta kerjasama baharu.
Ia termasuk melalui penganjuran Saudi-Malaysian Coordination Council (SMCC) yang akan dibincangkan dalam satu pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan rakan sejawat beliau, Putera Faisal bin Farhan bersempena lawatan rasmi oleh delegasi Malaysia ke Arab Saudi bermula hari ini hingga 23 Februari ini.
Arab Saudi merupakan negara Asia Barat pertama yang dilawati Datuk Seri Zambry sejak menyandang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri pada 2 Disember tahun lalu.
Ia menggambarkan hubungan istimewa yang wujud selama ini, serta komitmen Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi.
Selain Putera Faisal, Datuk Seri Zambry turut dijangka mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid A. Al-Falih untuk menerokai potensi kerjasama ekonomi baharu antara Malaysia dan Arab Saudi.
Beliau juga akan mengadakan perbincangan berkenaan Sidang Kemuncak ASEAN- Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang akan dianjurkan pada tahun ini bersama Setiausaha Agung GCC di Riyadh, Jasem Mohamed Albudaiwi selain turut dijadual untuk bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Ambassador Hissein Brahim Taha dan Setiausaha Agung Liga Muslim
Dunia di Riyadh Sheikh Dr. Mohammed Al-Issa.
Semasa lawatan itu, Datuk Seri Zambry juga akan mengadakan sesi pertemuan bersama ahliahli perniagaan di Riyadh dan Jeddah, yang dijangka akan menjadi platform bagi ahli-ahli perniagaan Malaysia untuk meneroka kerjasama perniagaan dan pelaburan baharu
khususnya di Arab Saudi.
Arab Saudi kekal sebagai rakan dagang Malaysia terbesar dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat. Pada tahun 2022, jumlah dagangan dua hala dengan Arab Saudi telah mencecah RM45.52 bilion (USD10.26 bilion), peningkatan sebanyak 159.2 peratus
berbanding RM17.56 bilion (USD4.23 bilion) pada tahun 2021.