comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Arab Saudi sepakat pertahan isu Palestin

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

RIYADH: Tekanan perlu terus dilaksanakan terhadap beberapa negara Eropah yang enggan menyuarakan bantahan terhadap keganasan berterusan rejim Zionis di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pandangan dan ketetapan jelas Malaysia berhubung perkara itu turut disepakati Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

”Keganasan atau pelanggaran ke atas Gaza akan beri kesan yang parah dari segi keselamatan rantau akan mendorong dan memaksa pelibatan kelompok lain dan tidak akan membantu meredakan ketegangan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja dua hari di Arab Saudi, semalam.

Meskipun sedar akan wujud tindak balas dari beberapa negara Barat berhubung kelantangan menyuarakan nasib penduduk Palestin, Malaysia katanya akan terus memperjuangkan isu itu di peringkat antarabangsa.

Tegasnya, beliau tiada pilihan ekoran isu Palestin melibatkan soal kemanusiaan apabila penduduknya terus sengsara akibat penindasan dan kezaliman berterusan rejim Zionis.

“Saya tak ada pilihan bila isu diplomasi boleh kita lunakkan, tapi dalam masa yang sama ada kesengsaraan (di Gaza), dengan pembunuhan melibatkan nyawa anak kecil dan wanita.

“Betul (ada) risiko, tapi kebimbangan kita ialah apa sedang dihadapi oleh rakyat Palestin,” katanya.

Malaysia tidak bersendirian dalam memperjuangkan soal Palestin dan mengecam keganasan rejim Zionis, malah ia kini membabitkan banyak negara memberikan pendapat sama.

“Ada suatu konsensus, bukan soal kemanusiaan di Gaza tapi tempiasnya dalam soal masa depan politik antarabangsa.

“Malah, saya sempat berbincang dengan negara ASEAN, Raja Bahrain, (Hamad bin Isa bin Salman), Raja Emeriah Arab Bersatu (Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan) dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed bin Salman.

“Semua dapat kata sepakat dan penyelesaian isu Palestin ini kita tak mahu buat sendirian,” ujarnya lagi.

Anwar turut memaklumkan Malaysia dan Arab Saudi bersetuju agar jalur ekonomi dan diplomatik kedua-dua negara diberi perhatian serius  menerusi peningkatan kerjasama perdagangan dan pelaburan selain dalam aspek pertahanan serta keselamatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini