Tumpuan :
Nasional

Malaysia antara negara pertama tandatangani perjanjian kerjasama antirasuah negara OIC

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menandatangani ‘Makkah Al-Mukarramah Convention’

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia menjadi antara negara pertama yang menandatangani ‘Makkah Al-Mukarramah Convention’ iaitu sebuah perjanjian kerjasama antirasuah antara negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan, perjanjian kerjasama itu melibatkan pertukaran maklumat, perkongsian kepakaran dan pembangunan kapasiti.

“Perjanjian ini selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC),” menurut kenyataan itu.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani pada Second Ministerial Meeting of the Anti-Corruption Law Enforcement Agencies in the OIC Member States di Doha, Qatar semalam (27 November).

Menurut SPRM, delegasi Malaysia ke mesyuarat yang berlangsung selama dua hari dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Turut mengiringi, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengetuai delegasi dalam Senior Officials Meeting pada 26 November.

Malaysia merupakan antara negara pertama menandatangani ‘Makkah Al-Mukarramah Covention’ sebuah perjanjian kerjasama antirasuah antara negara-negara OIC.

Mesyuarat tersebut dianjurkan bersama OIC dan Qatar Administrative Control and Transparency Authority (ACTA) bertujuan memperkukuh kerjasama negara-negara anggota OIC dalam membanteras rasuah.

“Dalam mesyuarat ini, Azalina telah menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia dalam memerangi rasuah melalui pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

“Beliau juga berkongsi bahawa Malaysia telah mencatatkan peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) melonjak ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara pada tahun lalu,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Malaysia juga mengumumkan langkah-langkah pengukuhan ketelusan dan tatakelola termasuk pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta cadangan pengenalan mekanisme Deferred Prosecution Agreements (DPA) untuk menangani kes rasuah dalam sektor korporat.

Sementara itu, SPRM berkata, delegasi negara turut mengadakan pertemuan dengan Dekan International Anti-Corruption Academy (IACA), Prof Slagjana Taseva.

Ia bagi membincangkan kerjasama strategik antara IACA dan Malaysia antara lain berhubung penganjuran IACA Regional Summer Academy di Kuala Lumpur pada tahun depan.

“Pertemuan ini mencerminkan peranan penting dan kepercayaan besar yang diberikan kepada Malaysia dengan pelantikan Azalina sebagai Presiden IACA Assembly of Parties (AoP) serta pelantikan semula Azam sebagai anggota Board of Governors (BoG) IACA bagi tahun 2024-2027, baru-baru ini.

“Penyertaaan Malaysia serta komitmen kepada usaha antirasuah ini mengukuhkan iltizam negara dalam bekerjasama dengan negara-negara OIC bagi memperkasakan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini