Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan dua resolusi berkaitan dengan hak asasi mutlak rakyat Palestin yang diluluskan semasa Sesi Tergempar Khas Ke-10 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan di New York, Amerika Syarikat, semalam.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, dua resolusi itu ialah ‘Demand for Ceasefire in Gaza’ dan ‘Support for the Mandate of the United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA)’.
“Resolusi bertajuk ‘Demand for Ceasefire in Gaza’ menzahirkan gesaan sepadu oleh masyarakat antarabangsa untuk menamatkan keganasan, memastikan akauntabiliti serta mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Gaza,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, resolusi bertajuk ‘Support for the Mandate of the UNRWA’ pula mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi masyarakat antarabangsa terhadap peranan dan mandat agensi PBB tersebut serta komitmen yang jelas untuk menentang sebarang percubaan untuk melemahkan dan menamatkan operasinya.
Pada masa sama, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan kedua-dua resolusi secara menyeluruh dengan segera.
Malaysia berpegang teguh dengan pendirian berprinsip dalam mendukung hak rakyat Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.