
BAHRAIN: Malaysia akan terus bersuara memperjuangkan isu Palestin yang berdepan kezaliman dan kekejaman, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dan berdaulat serta berhak menyatakan pendirian dengan tegas di mana sahaja.
“Kita bukan memilih untuk memusuhi sesiapa, tetapi di mana sahaja (wujud) bentuk kezaliman dan kekejaman, harus kita bela dan perjuangkan.
“Saya percaya ada juga segelintir kecil termasuk di Malaysia yang meragui ini (dan) ada juga yang menentang… jadi saya tanya mereka, apakah mereka tidak belajar mengenai kemanusiaan (atau) keadilan?
“Adakah mereka dibesarkan untuk membiarkan jiran tetangga mereka diterajang dan dibunuh,” katanya ketika bercakap kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi di Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan terdapat dakwaan kononnya Anwar dinasihatkan pegawai kerajaan supaya tidak terlalu tegas berhubung isu Hamas dan Israel bagi mengelak sebarang tindak balas daripada Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan itu lagi, kebimbangan terbabit timbul dengan tindakan Presiden AS, Donald Trump menerusi dasar baharunya termasuk mengenakan tarif lebih tinggi kepada negara asing.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, inisiatif Malaysia dalam membantu pihak terkesan akibat kezaliman bukan baharu, sebaliknya sudah lama digerakkan termasuk ketika perang Bosnia dan era aparteid di Afrika Selatan.
“Jadi dalam isu Palestin, dibanding dengan semua ini, sudah mengalami kehancuran sedemikian rupa dan sebab itu kita beritahu kepada sahabat kita di negara Teluk, dunia Arab dan Islam, kita harus berikan seupaya kita, malah yang kita berikan itu, bagi saya agak terlalu kecil.
“Jadi mungkin dalam beberapa hari ini, apabila ada acara untuk Palestin, saya mahu rakyat bersama memberikan pandangan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.