comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia Airport sumbang anjing pengesan tingkat usaha PERHILITAN banteras penyeludupan

Perry, seekor anjing pengesan melakukan demontrasi mengesan barangan terlarang semasa Majlis Kerjasama Agensi-agensi Penguatkuasaan Kerajaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Kompleks Kastam KLIA. – FOTO: NSTP

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyumbangkan dua anjing pengesan (K9) kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd, Mohd Arif Jaafar, berkata anjing daripada baka Belgian Malinois bernama ‘Van’ dan ‘Perry’ yang diimport dari Belanda itu berusia hampir dua tahun.

Beliau berkata, anjing K9 itu menjalani latihan intensif dengan pelatih profesional untuk mengesan hidupan liar yang tersenarai dalam Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar seperti gading gajah, tanduk badak, sisik tenggiling, ular dan kura-kura.

“Anjing-anjing ini bukan hanya dipilih berdasarkan kemampuan pengesanan tetapi juga kesihatan dan perangai.

“Kami berharap dua anjing ini dapat membantu memperkukuh usaha membendung aktiviti penyeludupan hidupan liar ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Kerajaan bagi Membanteras Aktiviti Penyeludupan, di KLIA, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) PERHILITAN, Datuk Fakhrul Hatta Musa, berkata sumbangan itu menjadikan jumlah terkini anjing pengesan yang dimiliki PERHILITAN sebanyak empat ekor.

“Kami harap anjing ini dapat perkukuh keberkesanan usaha membanteras jenayah penyeludupan hidupan liar ke negara ini. Setinggi-tinggi penghargaan kepada MAHB,” katanya.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pihaknya sentiasa peka dan bertindak pantas dalam memerangi aktiviti penyeludupan hidupan liar biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran demi memastikan keselamatan serta kemakmuran negara terus terpelihara.

Beliau berkata, kejayaan memerangi aktiviti penyeludupan hidupan liar di lapangan terbang, khususnya di KLIA tidak akan tercapai sekiranya tiadanya kesepaduan dan kesepakatan dalam menjalankan tugasan yang diamanahkan.

“Kerjasama, kesepaduan dan kesepakatan (3K) akan melahirkan sinergi ke arah pencapaian objektif yang telah ditetapkan,” katanya.

Anis Rizana berkata, antara kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam membanteras aktiviti penyeludupan hidupan liar di lapangan terbang pada tahun lalu ialah mematahkan cubaan menyeludup ular pelbagai spesies, biawak dan kura-kura jenis ‘red-eared slider’ dari Malaysia ke India serta menahan seorang warga India kerana cuba menyeludup keluar tiga sisik tenggiling spesies Armadillo. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini