
Oleh Kadir Edison
KUCHING: Malaysia akan mengadakan perbincangan bersama Thailand bagi mempelawa negara itu untuk bersama Malaysia dan Indonesia menjadi ahli Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, ia membantu negara-negara CPOPC untuk mempunyai suara yang kuat dalam menyuarakan isu halangan perdagangan yang diskriminatif terhadap negara pengeluar minyak sawit dan getah ke peringkat ASEAN.
“Suara mengenai isu berkenaan perlu diperkuatkan di peringkat ASEAN terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke peringkat global.
“Ini kerana jika suara terbabit sudah diterima diperingkat serantau, negara ahli CPOPC pastinya mempunyai suara yang kuat dalam mendepani halangan yang dikenakan terhadap komoditi terbabit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Juh Brekpes dengan FY di King Laksa, di sini.
Bagaimanapun menurut Fadillah, perbincangan mengenai perkara itu bersama Thailand hanya akan dapat dilakukan selepas proses pilihan raya umum negara berkenaan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Malaysia juga katanya, sedang berusaha untuk membolehkan semua standard-standard yang ditetapkan dalam aspek pengurusan ladang termasuk kualiti, kesihatan, sumber tenaga kerja dan kemampanan industri mematuhi kehendak antarabangsa dan tidak dikategorikan sebagai sebuah negara berisiko tinggi terhadap alam sekitar.
“Setakat ini perundingan sangat baik, kita juga dah berunding dengan negara- negara lain termasuklah dengan indonesia dan thailand dalam konteks kelapa sawit supaya kita mempunyai suara yang lebih kuat lagi dan untuk membawa agenda ini juga diperingkat ASEAN.
“Kalau ASEAN dah menerima maknanya kekuatan itu lebih baik untuk kita berdepan dengan tekanan daripada negara-negara luar khususnya,” katanya.
Mesyuarat CPOPC akan diadakan pada Mei depan dengan Malaysia akan menjadi pengerusi pada tahun ini.