Tumpuan :
Nasional

Malapkan Lampu Untuk Burung Hijrah Malam Ini – Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri yang mempunyai tapak persinggahan burung hijrah dialu-alukan untuk mencalonkannya sebagai ‘Flyway Network Site’ di Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pencalonan tapak itu adalah antara usaha bagi memulihara burung hijrah di negara ini.

Beliau berkata, melalui Hari Burung Hijrah Sedunia yang disambut pada minggu kedua bulan Mei dan Oktober setiap tahun, semua pihak turut diminta memalapkan lampu yang tidak diperlukan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan kepada burung berkenaan.

“Ia selaras dengan tema ‘Malapkan Cahaya Waktu Malam Demi Burung!’ yang dipilih sebagai tema pada tahun 2022 bagi menyeru masyarakat dunia untuk memalapkan lampu yang tidak diperlukan pada waktu malam bagi mengelakkan gangguan kepada burung hijrah.

“Lampu yang terang boleh mengelirukan burung hijrah dan menyebabkannya terlanggar bangunan ketika terbang pada waktu malam serta mengganggu ritma biologi burung hijrah.

“Saya juga menyeru semua pihak untuk sama-sama membulatkan tekad dan memperhebatkan usaha dalam memulihara burung hijrah.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai ‘national focal point’ bagi EAAFP juga mengalu-alukan kerajaan negeri yang mempunyai tapak persinggahan burung hijrah untuk mencalonkannya sebagai Flyway Network Site di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Malaysia adalah satu daripada 19 negara ahli East Asian-Australasian Flyway (EAAF) iaitu destinasi untuk burung hijrah berehat, mencari makanan dan perlindungan sebelum meneruskan perjalanan mereka ke destinasi lain.

EAAFP ditubuhkan pada 6 November 2006 bertujuan untuk memberi fokus kepada perlindungan burung hijrah, habitat dan komuniti manusia yang bergantung dengannya.

Takiyuddin berkata, sehingga kini Bako Buntal Bay di Sarawak diiktiraf sebagai Flyway Network Site yang pertama di negara ini pada tahun 2013.

Katanya, sambutan hari burung hijrah adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pemuliharaan burung hijrah dan ekosistem mereka di peringkat global.

“Setiap tahun terdapat lebih 50 juta spesies burung hijrah bermigrasi melalui EAAF. Burung ini melakukan penghijrahan untuk mengelakkan musim sejuk di negara asalnya,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini