comscore
Tumpuan :
Nasional

Malapetaka kemanusiaan di Gaza tidak masuk akal – Wisma Putra

Foto: Reuters

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kegagalan untuk bertindak menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza, Palestin adalah persekongkolan dan mengancam sebarang harapan bagi mencapai keamanan.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, malapetaka kemanusiaan di Gaza telah mencapai tahap yang tidak masuk akal.

Menurutnya, rejim Zionis Israel terus menerus membuat serangan tanpa henti, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pada masa yang sama menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian aman.

“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab dan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel ke atas Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir el-Balah dan pengepungan haram di kem Pelarian Jabalia.

“Imej mengerikan mangsa dibakar dalam keadaan masih hidup hanyalah sebahagian kecil daripada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Gaza.

“Imej sedemikian menunjukkan kempen keganasan rejim Zionis Israel, yang jelas bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza,” menurut kenyataan itu.

Dalam serangan pada awal pagi Isnin lalu, Israel mengebom khemah pelarian berhampiran Hospital Syahid Al-Aqsa yang menyebabkan empat orang terkorban dan 40 yang lain cedera.

Justeru, Malaysia mengulangi desakan negara agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza diberhentikan segera.

“Malaysia menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan oleh Piagam dengan memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya.

“Selain itu, mereka juga perlu menegakkan keutuhan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia akan terus menyampaikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

Katanya, sokongan penuh Malaysia terhadap Palestin juga melibatkan usaha mereka untuk menjadi anggota penuh PBB.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah dan keadilan serta akan terus memperjuangkan hak mereka di pentas global,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini