Tumpuan :
Nasional

Maknai kemerdekaan demi kemajuan negara – PM

Anwar ketika majlis memperingati ketokohan dan sumbangan Tunku Abdul Rahman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: Masyarakat bertanggungjawab untuk memaknai kemerdekaan bagi memastikan kemajuan negara terus terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tanggungjawab itu merangkumi usaha menghargai perjuangan tokoh terdahulu yang berkorban demi mencapai kemerdekaan.

“Kita perlu memberi erti kepada hasrat yang murni dan mulia daripada tokoh yang berjuang untuk kemerdekaan sebagai asas negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memperingati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Perdana Menteri Pertama dan Bapa Kemerdekaan Malaysia di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Anwar turut berkata perjuangan pemimpin terdahulu dalam membentuk asas negara harus dihargai bagi memastikan Malaysia terus berada di landasan yang betul.

Katanya, perjuangan Tunku Abdul Rahman dalam menubuhkan Malaysia dan membangunkan ekonomi negara, meskipun berdepan pelbagai cabaran serta tentangan terhadap prinsip kepimpinannya, wajar dicontohi.

“Beliau berjaya menggesa tuntutan kemerdekaan, berunding dengan bijak, dan pada masa yang sama menawan hati rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak,” tambahnya.

Pada masa sama, Anwar turut menggalakkan generasi muda memahami erti pengorbanan dan perpaduan dalam usaha membina negara bangsa.

Beliau kemudian meluangkan masa melawat pameran di sini, yang memaparkan pelbagai warisan kepimpinan dan bahan sejarah negara, termasuk Pejabat Perdana Menteri yang pertama, Meja Pengisytiharan Kemerdekaan, dan Meja Pemasyhuran Malaysia.

Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, yang dirasmikan pada 10 November 1994, ditubuhkan bagi memperingati jasa dan sumbangan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Memorial itu menampilkan pelbagai bahan sejarah berkaitan Tunku Abdul Rahmah, termasuk dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar, serta barangan peribadi yang mencerminkan perjalanan kepimpinannya sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini