NIBONG TEBAL: Sebuah makmal komputer musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 10.10 pagi sebelum pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Zaki Sabri dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal itu turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Sungai Bakap.
“Kebakaran itu menyebabkan kira-kira 60 peratus bahagian bilik makmal komputer terbabit musnah dengan keluasan bangunan dianggarkan 2.78 meter persegi panjang dan 2.78 meter persegi lebar.
“Api dapat dikawal pada jam 10.41 pagi dan tiada individu menggunakan makmal tersebut ketika kejadian itu berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.