Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah/ Aziz Abdullah
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyerahkan agihan bantuan makanan bernilai RM1 juta ringgit untuk diagihkan kepada 25,000 pelajar sekolah menengah yang terdiri dari pelajar miskin dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).
Melalui program yang dikenali sebagai “Dapo MAIDAM @ School” pelajar terbabit bakal mendapat makanan percuma di sekolah sebanyak 8 kali sehari dengan kadar RM5.00 sekali makan.
Bantuan ini diagihkan bermula 1 hingga 31 Januari 2023 kepada pelajar terbabit daripada 134 buah sekolah menengah dengan melibatkan 8 buah Pejabat Pendidikan Daerah.
Perbelanjaan bagi program agihan MAIDAM ini menggunakan peruntukan daripada Sumber Am yang diperolehi agensi itu.
MAIDAM berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga pelajar terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Terengganu, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, pihaknya berharap bantuan makanan ini dapat meringankan beban pelajar ketia sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
“MAIDAM berharap pelajar yang menerima bantuan ini dapat makanan yang mencukupi ketika berada di sekolah dan lebih fokus ketika belajar”, ujarnya.
Bantuan makanan melalui program “Dapo MAIDAM @ School” ini hanya difokuskan kepada pelajar miskin sekolah menengah berikutan sekolah rendah telah menerima geran bantuan makanan daripada kerajaan persekutuan melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abd Muie Ngah berbesar hati menerima sumbangan itu sekaligus dapat membantu pelajar terbabit.
Berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, terdapat 506 buah sekolah di Terengganu yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah dengan jumlah keseluruhan pelajar adalah seramai 235,000 orang.
40 peratus daripada jumlah itu merupakan pelajar miskin.