Tumpuan :
Nasional

Makanan hotel untuk mangsa banjir

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA NERUS: Mangsa banjir kawasan Dun Tepoh disantuni warga Hotel Permai, Kuala Terengganu.

Prihatin dengan situasi itu, seramai 20 sukarelawan terdiri dari warga kerja Permai Hotel Kuala Terengganu turun padang menyampaikan bantuan kepada komuniti yang terjejas melalui program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bertempat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Kampung Gemuroh dan SK Bukit Guntong serta penduduk sekitar.

Pengurus Besar Permai Hotel Kuala Terengganu, Noralizan Abd Rahman berkata, inisiatif tersebut bukan hanya menjadi satu tanggungjawab sosial korporat hotel untuk meringankan beban mangsa banjir, tetapi ia juga merupakan konsep yang diterapkan oleh Permai Hotel sejak azali iaitu mencari keberkatan dengan menjadikan kerja bakti, kebajikan dan sedekah sebagai nilai teras dalam setiap urusniaga yang dijalankan.

“Saya percaya bahawa usaha dalam mencari keberkatan di dalam perniagaan bermula dengan bersedekah”.

“Program ini dilakukan setiap tahun bagi menerapkan sifat empati dan menzahirkan semangat kemanusiaan dalam kalangan warga kerja Permai Hotel untuk membantu insan yang ditimpa musibah tanpa mengira kaum, jantina dan status,” katanya.

Dalam misi berkenaan, lebih dari 400 pek makanan dimasak dan disediakan secara gotong royong oleh warga kerja hotel dan diedarkan terus kepada komuniti yang terjejas.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Permai Hotel, Ustaz Hishamuddin Abd Karim yang juga turut meluangkan masa bagi menyantuni mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS.

Bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban mangsa banjir dan sebagai tanda solidariti bersama mangsa banjir yang diuji kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

Loading...
Terkini