comscore
Tumpuan :
Nasional

Mak Nani terkilan Ahmad Nawab tak sempat lihat projek galeri khas

Rosnani atau mesra disapa Mak Nani baru berbincang idea membuka galeri khas buat Allahyarham Ahmad Nawab. Foto: NSTP

GOMBAK: Seniwati legenda, Datuk Rosnani Jamil tidak dapat menyembunyikan rasa sebak ketika berkongsi mengenai teman rapatnya, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.

Rosnani atau mesra disapa Mak Nani, 88, berkata, dia baru berbincang idea membuka galeri khas buat temannya itu.

Namun, apa yang menyentuh hati Rosnani, Allahyarham Ahmad Nawab tidak berkesempatan melihat projek itu direalisasikan.

“Mak dengan arwah terlalu rapat. Kebetulan, Mak baru balik dari Pulau Pinang, merasmikan galeri untuk Allahyarham Nordin Ahmad bersama Persatuan Karyawan Pulau Pinang.

“Orang ingatkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sahaja. Jadi, dalam pada itu, kita berbicara memikirkan mengenai arwah sebab beliau pun orang Pulau Pinang.

“Disebabkan itu, persatuan berpandangan, insya-Allah, sekarang kita sudah selesai buat untuk Allahyarham Nordin, kita akan buat untuk Ahmad Nawab pula.

“Kami sangat gembira bercakap mengenai arwah. Kemudian, tadi anak telefon beritahu Ahmad Nawab sudah tiada. Jadi, Mak tak tahu hendak cakap apa… Mak sedih tidak dapat berjumpa pun,” katanya ditemui ketika menziarahi jenazah Allahyarham Ahmad Nawab di kediamannya di Taman Melewar di sini, malam tadi.

Allahyarham Ahmad Nawab dilapor meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang tadi.

Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan.

Rosnani berkata, beliau sering berkunjung ke rumah Allahyarham Ahmad Nawab sebelum isteri arwah meninggal dunia.

“Dahulu ketika Mak pandai bawa kereta, ketika arwah isterinya masih ada, kami sangat rapat. Selalu bawakan lauk makan di rumah anak. Sekarang isteri dia sudah tiada, Mak tidak datang sehingga hari ini.

“Anak Emak selalu marah, iyalah kalau nak datang kena masak untuk arwah. Arwah sukakan rendang ayam Mak.

“Doalah semoga Allah meletakkan arwah bersama hamba-Nya yang beriman dan ampunkan segala dosanya. Tidak lama lagi, Mak pun akan menyusul agaknya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini